Zikrullah

Buat Insan yang Amat Ku Sayang

Tuesday, April 13, 2010

Tentang Seseorang...


Seseorang,dahulunya sepasang matanya yang bersinar sentiasa dijaga,sentiasa menjaga pandangan. Pabila si teruna memandang,dia tertunduk. Ketika berjalan,matanya selalu memandang ke lantai dan hatinya menggerakkan kakinya ke destinasi. Melihat pabila perlu dan baik dipandang.
Dahulu telinganya sentiasa juga dijaga. Mendengar segala-galanya, samada yang baik atau yang buruk. Tetapi, yang buruk hanya di dengar dengan fahaman kosong, tidak mengiyakan, tidak mengikut atau menokok. Segala baik yang didengar dilekatkan didalam hati dengan teguh dan dijadikan pedoman buat melalui hidup yang penuh dugaan demi mendapat redhaNYA.
Dahulu, bibirnya sentiasa diukir senyuman. Berkata bila sahaja yang perlu. Pabila si teruna menegur, dia hanya tersenyum. Bukan menggoda, tetapi satu isyarat bahawa dia tidak perlu disapa tanpa tujuan. Bila si teruna bertanya tentang ilmu, pasti dijawab penuh dengan keikhlasan tanpa niat yang berlainan. Cukup sekadar jawapan. Waktu kosongnya pasti diisi dengan puji-pujian kepada maha pencipta dan rasulNYA.
Dahulu, hatinya sentiasa dijaga walaupun terkadang sedikit tercalar. Tetapi hati itu pasti dipulihkan kembali dengan satu solat pembersihan dengan penuh khusyuk dan tawadduk. Hatinya walaupun dilukai, pasti terlihat jua senyuman dibibir. Hanya mengadu kepadaNya bagi mengubati luka dihati. Hatinya sentiasa diisi dengan kecintaannya kepada Ilahi. Ketenangan hatinya sentiasa tergambar diwajahnya.
Kini, sinaran matanya kian pudar. Ekor matanya terkadang meliar. Kerap juga matanya melimpahi air tanda ketenangan hatinya terganggu. Pabila si teruna idaman hati memandang, hatinya berdebar.
Solat pembersih diri semakin kurang kesannya dengan kesibukan rutin harian menjadi alasan.
Kini, telinganya dihidangi dengan lagu-lagu rancak yang melalaikan, mendengar umpatan, hinaan dengan mulutnya pasti mengiyakan dan menokok terkadang. Sedikit-sedikit perkara baik yang didengari kian luntur dari hati dan pegangan.
Kini, bibirnya sentiasa berkata-kata walaupun dengan si teruna. Senda gurau dan gelak tawa sentiasa tersaji walaupun di hadapan teruna.
Kini, hatinya sentiasa tercalar. Ketenangannya sentiasa diragut. pelbagai perasaan bercampur baur..antara rasa dilukai,dikhianati,dipermainkan dan dipinggirkan.
TETAPI....Hari ini, kata-kata seseorang telah menyedarkan dirinya dari lena yang panjang. Suatu ketika, fikirannya seakan terhenti Suatu ketika, fikirannya ligat berputar memikirkan perkara-perkara ’dahulu’,
suatu ketika, fikirannya mengingati perkara-perkara ’kini’, dan suatu ketika, fikirannya pantas melakukan kira-kira perkara ’dahulu’ dan ’kini’, melakukan perbandingan dan mencongak keburukan dan kekurangan diri.
“DisakitkanNya kita sekejap tapi cepat-cepat disembuhkan semula kerana cintaNya, disusahkan sedikit agar insaf, namun segera disenangkan semula, itulah belaianNya. Dimarahkan juga kadang-kadang kerana sayang, namun tidak lama kerana kasihNya. Dipanggil-panggil kepadaNya untuk meminta itu dan ini. Tuhan amat melayani hambaNya tetapi hamba langsung tidak peduli.”

Hari ini, matanya sekali lagi dilimpahi air.
Hari ini, telinga dan mulutnya seakan terkunci. Kesal dan terguris dek hari-hari ’kini’ yang tersasar jauh dari landasan keimanan insan dan menyedihkan .
Hari ini, hatinya diruntun sayu, terharu atas nikmat hidayah dan peluang yang telah diberikan oleh yang Maha Pencipta kepada dirinya.
Hari ini, dia cuba menyatukan mata, telinga, mulut dan juga hati dengan kukuh. Cuba mencari kekuatan, cuba membulatkan tekad, cuba menyimpul semula keimanan demi mendapatkan redha yang Maha Esa.
Supaya ’hari ini dan selamanya’ harinya sentiasa mendapat cahaya dari pencipta.
Supaya ’hari ini dan selamanya’ harinya, matanya akan kembali bersinar. Supaya ’hari ini dan selamanya’ harinya, telinganya sentiasa terjaga. Supaya ’hari ini dan selamanya’ harinya, bibirnya sentiasa terukir senyuman ikhlas dan mengucapkan yang keperluan dan mengisyaratkan batasan.
Supaya ’hari ini dan selamanya’ harinya, hatinya kembali tenang dan kembali terisi dengan kecintaan kepada Ilahi...
Hari ini dan selamanya, perjalanannya seperti roda, harapannya hanya satu, agar mendapat keredhaan Ilahi tanpa tersasar dari landasan iman. Satu harapan bagi setiap insan beriman yang sentiasa hanya mengharap cinta Ilahi.
Dari cintaNya kita berasal,
Dan atas nama cinta Dia menciptakan kita
Kerana cinta kita mendatangiNya
Dan demi cinta juga kita kembali kepadaNya…
Ampunkan aku Tuhan...karamkan aku dalam lautan cintaMu..biarpun hanya cintaMu sahaja....
~~pendamba kuntuman mawar hijaw di SyurGa~~

0 comments:

Post a Comment

Hindarilah kami dari dosa besar ini Ya Allah,bantulah diri kami untuk menguatkan iman kami,sesungguhnya...."lelaki yang baik untuk perempuan yang baik"....ku harap kita sentiasa dlm redha-Nya..Ameen..