Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Muhammad ibnu Jaafar berkata, Ali ibnu Daud ar-Riqqi mensenandungkan bait-bait syair di hadapan kami.
Setiap orang yang berkawan denganmu bukan kerana Allah,
Maka jangan kau teruskan jalinan persahabatanmu dengannya,
Sebaik-baik kawan, ialah yang berteman denganmu kerana Allah,
Ia akan tulus mewajahkan persahabtan dan jernih menyikapimu.
Al-Auzaiy berkata, Bilal ibnu Saad berkata,
Kawan
sejati bagimu ialah orang yang setiap kali bersua denganmu, selalu
menasihati dirimu kerana Allah s.w.t, serta mengingatkan nasib dirimu di
hadapan Allah s..a.wt. Kawan seperti itu, jauh lebih baik bagimu
daripada kawan yang setiap kali bertemu denganmu, dia meletakkan dinar
di telapak tanganmu.
[Bilal ibnu Saad ad Damasqiy, adalah salah
seorang bijak bestari yang sangat sejuk nasihat-nasihatnya. Ceramahnya
meneduhkan hati siapa saja yang mendengarnya. DIa sangat mahir
menyuguhkan kisah-kisah hikmah. DIa meninggal pada era Khalifah Hisyam.
Kisahnya banyak ditulis para alim, antara lain Imam Nasai dalam
at-Taqrib (1/110)]
"Tiada ukhwah di dalam internet. Semua itu hanyalah perbualan kosong sahaja!"
"Tidak,
adik akan buktikan yang kata-kata itu tidak benar" Dan dia berusaha
untuk datang bertemu, dan sesungguhnya, itulah yang saya inginkan dia
faham maksud ukhwah yang saya katakan, iaitu pertemuan dan perpisahan
kerana Allah.
"Akak, adik dah pun tunaikan janji adik"
Pertemuan
dan perpisahan kerana Allah dijanjikan olehNYA dengan ganjaran syurga.
Maha Suci Allah. Ketika zaman sedang diulit dengan kelekaan dunia
internet, masih ada lagi yang berusaha, berusaha dan mengusahakan sebuah
pertemuan. Maha Suci Allah, DIA yang Maha Melihat, sentiasa memberikan
ganjaran kepada hamba-hambaNYA yang berusaha untuk sebuah pertemuan.
Maimun ibnu Siyah berkata, Anas ibnu Malik berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,
Tiada
seorang muslim yang mendatangi saudaranya, semata-mata berkunjung
kerana Allah s.w.t, melainkan ada suara yang berseru dari langit: "Kau
telah berbuat kebaikan. Dan kau akan memperoleh syurga terbaik." Allah
s.aw.t berkata kepada orang tersebut: "Kau telah berbuat baik. Semua
jejak langkahmu menzahirkan kebaikan. Aku siapkan tempat untukmu di
syurga"
[Hadis ini dikeluarkan Abu Naim dalam Khilah alAuliya' (3/107). Lihat dalam al Jarah wa Ta'dil (8/239)]
Saya
nukilkan sedikit dari sebahagian besar kisah sekalian sahabat saya yang
berusaha dan terus berusaha untuk sebuah pertemuan. Dan semoga
pertemuan ini juga adalah semata-mata kerana Allah.
"Walau apa pun yang terjadi, tak boleh putuskan persahabatan dengan akak"
Kata-kata Saidina Ali mengenai persahabatan
"Manusia
yang paling lemah adalah yang tidak mampu mencari teman. Dan, yang
lebih lemah lagi adalah yang menyias-nyiakan temannya"
Saidina Ali berpesan
"Jangan
sampai teman anda lebih senang memutuskan hubungan dengan anda daripada
menyambungnya. Jangan pula kejahatan lebih mendominasi daripada
kebaikan anda"
Maha Suci Allah, siapakah sahabat yang terbaik? Siapakah yang mampu memiliki sahabat yang baik. Subhanallah.
Perhatikanlah
diri kita, yang acap kali mengandaikan ukhwah itu hanyalah sebatas
menaip di papan kekunci komputer riba atau telefon mudah alih. Renungkan
usaha apakah yang telah kita lakukan untuk sebuah ukhwah yang diredhai
oleh Allah, persaudaraan yang mendapat naungan Allah.
Janganlah
kita berukhwah atas maksud yang lain melainkan hanya kerana Allah. Bila
kita maksudkan kerana Allah, maka, jagalah sahabat-sahabat kita dari
mereka terjatuh menjadi bahan api neraka, satu persatu. Nauzubillah min
dzhalik.
"Apa maksud ukhwah kerana Allah, kak?"
Ukhwah
kerana Allah, adalah seperti analogi perasaan kita yang mempunyai adik
beradik, dan kita selalu mendengar rungutan ayah dan ibu mengenai
kesilapan abang yang itu, kakak yang sana, adik yang ini. Hati kita
runtun mendengarnya kerana segala sungutan itu tidak disampaikan secara
langsung kepada adik beradik semua. Lalu, kita hampiri abang yang itu,
kakak yang sana, dan adik yang ini, dan berkata dengan lembut,
"Janganlah kalian memperlakukan sedemikian, kerana ianya mengguris hati
ibu dan ayah kita"
Begitulah wahai saudara-saudariku sekalian,
berukhwah kerana Allah, ianya adalah analogi yang mudah kita lihat di
sekeliling kita untuk kita benar-benar fahami. Al-Quran dan sunnah,
adalah dianalogikan seperti sungutan ayah dan ibu kita. Sekalian saudara
kita, adalah seperti adik beradik kita. Dan bencana yang menimpa
diturunkan olehNYA adalah seperti rasa tergurisnya hati ayah dan ibu
kita.
Berukhwahlah, dan bersaudaralah keranaNYA. Kerana DIA telah
menciptakan saudara-saudara kita sekalian untuk menunjukkan jalan lurus
menuju kepada cahaya Ilahi. Maha Suci Allah, Segala Puji dan Puja hanya
untukNYA, maka, peliharalah persaudaraan kerana Islam.
Janganlah
kita berkasih sayang, berukhwah atas maksud tertentu. Bersaudaralah
kerana persaudaraan islam dan keranaNYA kerana sesungguhnya Rasulullah
s.a.w memberitahu bahawa persaudaraan yang diredhai Allah adalah
persaudaraan islam.
"Iman nak tahu, masa sebelum ni, kita hanya
berbual-bual biasa di dalam internet, akak belum dapat rasa lagi
kasihnya terhadap saudara seislam keranaNYA pada Iman, tapi, apabila
kita dah bertemu, Masya Allah, akak jatuh kasih dan sayang Iman kerana
Allah. Sesungguhnya akak menyayangi Iman kerana Allah"
"Wah, kak, samalah dengan iman. Iman pun sayang dengan akak"
Tersenyum.
"Bukan begitu jawabnya, dik. Jawablah dengan doa yang Nabi telah
ajarkan, semoga Allah menyayangi anda seperti mana anda menyayangi saya"
Suatu
hari, diceritakan, seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w, dan
berkata, "Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menyayangi lelaki itu" seraya
ketika itu ditunjukkan ke arah seorang lelaki yang berjalan.
Rasulullah tersenyum, dan berkata, "Ucapkanlah kepadanya dan engkau akan mendapati jawapan darinya"
Lalu lelaki itu berkata kepada lelaki yang ditunjukkan, "Sesungguhnya aku menyayangimu kerana Allah"
Tersenyum lelaki itu lalu diucapkan, "Semoga Allah menyayangi anda seperti mana anda menyayangi saya"
Masya
Allah, wahai saudara-saudari sekalian, apakah nikmat yang paling kita
harapkan, yang lebih besar lagi dari rahmat dan kasih sayang Allah.
Masya Allah, inilah satu doa yang diajarkan agar membuah rasa kasih dan
sayang kita kepada saudara sekalian keranaNYA. Janganlah kita
menyia-nyiakan apa yang telah Allah sediakan untuk kita kerana belum
tentu lagi di sana, kita dapat berada di dalam naungan Allah jika tidak
adanya pertemuan dan perpisahan keranaNYA.
Daripada Abu Hurairah Radiaallahu’anhu, dari Nabi Sollallahu’alaihiwasallam;
“Sesungguhnya
seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah
Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki
itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu
bertanya; Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu
saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada
apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya? Lelaki
itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah
Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku merupakan utusan
Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu
sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya”
(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Birr, Bab pada menyatakan kelebihan cinta kerana Allah)
Semoga
sedikit nukilan, dan sekecil-kecil perkongsian ini dapat mengatur
kembali langkah kita dalam mencari sahabat demi menujuNYA, bersama-sama
untuk berjuang mencari jalan kebenaran dan mencari keredhaanNYA.
Wallau'alam
coretan kenangan ukhty Allahyarhamah Nurul hidayah.